Profil Mokhtar Hj Mansor

Mokhtar merupakan bekas Pegawai Undang-Undang Satu, Mahkamah Agung Malaysia sebelum meletak jawatan untuk menyebarkan Kaedah Mokhdar kepada masyarakat umum

Advertisements

Sebaik menamatkan pengajiannya di dalam bidang undang-undang di Universiti Malaya, Mokhtar bertugas sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang Parlimen di Jabatan Peguam Negara Malaysia di Kuala Lumpur. Tiga tahun kemudian Mokhtar dinaikkan pangkat dan berpindah ke Teluk Intan dan bertugas sebagai Majistret Kanan Teluk Intan selama hampir empat tahun. Selepas itu sekali lagi dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke Alor Setar menjawat Peguam Kanan Persekutuan merangkap Timbalan Pendakwa Raya Malaysia bagi negeri Kedah, sebelum seterusnya berpindah pula ke Kuala Lumpur menjadi Pegawai Undang-Undang Satu, Mahkamah Agung Malaysia (First Legal Officer of the then Supreme Court of Malaysia).

Pada awal 1986, iaitu semasa bertugas sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang Parlimen, Mokhtar menemui suatu fakta yang disedarinya pasti akan sukar diterima oleh bangsanya sendiri : sebutan angka yang panjang menyebabkan penggunaan masa yang lebih lama untuk membilang, belajar dan mengajar membilang, mengira, belajar dan mengajar mengira, menganalisa fakta-fakta bersifat matematik, belajar dan mengajar menganalisa fakta-fakta bersifat matematik, mengingat fakta, langkah kerja dan proses penyelesaian masalah bersifat matematik (lalu jadual operasi asas, rumus, teorem, hukum, tarikh sejarah, statistik, ketinggian gunung, maklumat yang diekstrak dari skrin kalkulator atau komputer, nombor telefon, nombor fail, nombor pendaftaran, kod akses, computer configurations, jumlah cek yang ditandatangani atau jumlah wang yang dibelanjakan, dan sebagainya, dibanding dengan orang yang membilang menggunakan bahasa minda, bahasa pertuturan atau bahasa penulisan yang lebih pendek sebutan angkanya. Sebagai contoh, seorang adik kecil berusia lingkungan dua tahun lebih mudah dan lebih ceria menyebut dan mengingat twelve twelve one four four (12×12=144) daripada menyebut dan mengingat dua belas dua belas satu empat empat.

Lanjutan daripada penemuan tersebut membawa kepada penemuan seterusnya : sebutan perkataan yang panjang menyebabkan penggunaan masa yang lebih lama untuk berfikir, berkomunikasi, bercakap, belajar bercakap, mengingat perkataan, mengakses perkataan yang tersimpan di dalam minda, membaca, bercakap di telefon, bercakap di dalam mesyuarat, berceramah, berbahas, menulis, memberi dan menerima arahan, berlakon, bermimpi, berbual kosong, dibanding dengan aktiviti sedemikian yang dilakukan di dalam bahasa-bahasa yang lebih pendek sebutan perkataannya. Sebagai contoh, lebih mudah dan lebih menjimatkan masa dan bil telefon (dan bil-bil lain) bagi mengungkapkan wa ai ni di dalam bahasa Mandarin yang memerlukan tiga suku kata berbanding ungkapan kusayang padamu yang memerlukan enam suku kata atau aku sayang kepada kamu yang memerlukan sembilan suku kata.

Sejak itu Mokhtar memulakan misi untuk memberitahu setiap orang daripada anak bangsanya, bahawa kita perlu mereformasikan bahasa kita agar perkataannya jadi semakin pendek dan bukannya semakin panjang, demi kemajuan bangsa dan negara yang tercinta, malah demi kemajuan bahasa kita yang tercinta. Ini kerana sebutan perkataan yang panjang menyukarkan ungkapan dan akhirnya penuturnya memilih jalan terbaik untuk dilakukan iaitu dengan menyingkatkan perkataan atau mencampur adukkan dengan ungkapan perkataan dari bahasa lain yang lebih mudah diungkapkan. Lahirlah sindrom ‘orang Melayu yang amat cintakan bahasanya enggan menggunakan bahasanya yang sempurna kerana takut ditertawakan di pasar’. Di antara usaha Mokhtar di dalam menyebarkan hasil penemuan dan pemikirannya ialah menulis surat bertubi-tubi kepada Perdana Menteri pada masa itu (Y.A.B. Dato’ Seri Dr.Mahathir bin Mohammad), dengan surat terpanjang setebal 200 muka surat (dikirim pada 1990) dan dengan salinan kepada ramai tokoh-tokoh pemimpin dan inteleks, mencadangkan supaya matematik diajar di dalam bahasa Inggeris bagi meningkatkan tahap kecekapan pelajar menangani masalah matematik. Surat tersebut kemudiannya diubahsuai dan diterbitkan sebagai sebuah buku, bertajuk ‘Bahasa dan Tamadun Bangsa’, dan diterbitkan sekali lagi enam bulan kemudiannya dengan lebih ‘kemas’ di bawah tajuk ‘Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi’. Utusan Malaysia menganggap buku ini sebagai ‘buku yang wajib dibaca oleh setiap rakyat yang mahu berjaya, terutamanya orang Melayu’ (Utusan Malaysia, 17hb Feb 1992 – preview oleh Zainab Mohd.Ali).

Mokhtar meletak jawatan pada 15hb Nov 1993 untuk memberi masa sepenuhnya kepada perjuangan menyebarkan hasil pemikiran dan penyelidikannya yang dianggapnya sebagai perjuangan untuk bangsa dan negara yang tercinta.

Related posts:

Advertisements
Advertisements
%d bloggers like this: