Words, please. No emotions and rhetorics

Bagi mereka, gaya adalah tidak penting kerana apa yang penting ialah hujah-hujah yang disampaikan. Tangan pembahas atau pemidato tidak perlu dijulang atau digoyang ke sana sini, ucapan tidak perlu berapi-api malah emosi tidak diperlukan sama sekali

Advertisements

Dalam penulisan artikel sama ada esei atau cerpen bagi kertas bahasa Malaysia di dalam ujian dan peperiksaan yang dijalankan di sekolah, calon biasanya dikehendaki menulis esei atau cerpen dalam lingkungan 350 hingga 550 perkataan. Bagaimanapun bagi penulisan artikel bagi kertas bahasa Inggeris, calon biasanya diarahkan menulis artikel yang terdiri daripada tidak lebih daripada 350 perkataan, atau dalam lingkungan 350 perkataan.

Di dalam artikel bahasa Malaysia, tulisan mengandungi bawah daripada 400 perkataan dianggap kurang berisi, tetapi di dalam artikel bahasa Inggeris, tulisan mengandungi lebih daripada 400 perkataan dianggap excessive malah mengarut.

Semasa belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), saya terlibat dalam sesi-sesi pertandingan syarahan dan debat di dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Saya mewakili MCKK dalam ‘Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri’ bagi bahagian bahasa Malaysia, dan turut diberi latihan perbahasan oleh guru-guru yang menyelia peserta-peserta dalam kumpulan perbahasan dalam bahasa Inggeris.

Apa yang menjadi kenangan yang pastinya tak dapat saya lupakan sekarang ialah, guru-guru yang membimbing kumpulan debat di dalam bahasa Malaysia sentiasa mengingatkan pembahas mereka supaya melontarkan ucapan dengan penuh gaya, intonasi suara dilagukan atau ditinggirendahkan, tangan dijulang atau diayun malah ditunjuk ke hadapan bagi mengiring ucapan. Ucapan tidak perlu berapi-api tetapi sedikit emosi adalah diperlukan. Lebih baik gaya atau cara unsur-unsur tersebut dipersembahkan, lebih terpikatlah audien dan juri dan lebih tinggilah peluang untuk memenangi pertandingan.

Bagaimanapun bagi kumpulan debat di dalam bahasa Inggeris, guru yang menyelia peserta memberi arahan yang agak berbeza. Bagi mereka, gaya adalah tidak penting kerana apa yang penting ialah hujah-hujah yang disampaikan. Tangan pembahas atau pemidato tidak perlu dijulang atau digoyang ke sana sini, ucapan tidak perlu berapi-api malah emosi tidak diperlukan sama sekali. Intonasi suara adalah perlu tetapi tidaklah sampai seperti dilagukan. Lebih banyak gaya yang ditonjolkan, lebih berapi ucapan yang diberi dan lebih emosional gaya persembahan pembahas atau pemidato, lebih ‘menyampah’lah audien dan juri.

Pendeknya, apa yang diajar oleh penyelia debat atau syarahan di dalam bahasa Melayu adalah bertentangan hampir semuanya dengan apa yang diajar oleh penyelia di dalam bahasa Inggeris, kecuali dalam hal penekanan terhadap kepentingan isi hujah yang disampaikan.

Mr.Bala, guru penyelia debat di dalam bahasa Inggeris di MCKK bagi tahun 1978, pernah bertanya kepada ketua kumpulan debat di dalam bahasa Malaysia iaitu Saifuddin Abdullah (kini Dato’ Saifuddin Abdullah – bekas Pengerusi Majlis Belia Malaysia), “Can’t you perform like the English way of debating, no emotions, no excessive style, no rhetorics? Why can’t you just present your facts and ingenuity through your plain words?”

Kami memberitahunya, “That’s what we are doing now, sir.”. Namun selepas beliau mengikuti persembahan kami, beliau merungut, “I still see lot of emotions, excessive style and rhetorics.”

Semasa menjadi Majistret Kanan Teluk Intan, saya menghadiri suatu majlis anjuran Majlis Belia Tamil Teluk Intan, yang tamu kehormatnya ialah Dato’ Megat Junid (Allahyarham Tan Sri Dato’ Megat Junid), Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada masa itu (1989). Presiden Majlis Belia tersebut, yang memberi ucapan kepada hadirin dalam bahasa Tamil, memberi ucapan yang berapi-api dari saat mulai berucap hinggalah ke saat menghabiskan ucapan, walaupun beliau tidak marah sama sekali.

Sebaik beliau kembali ke tempat duduknya, Dato’ Megat Junid berkata kepada beliau, “Dey, apa you cakap, hah? Macam orang marah?”

Sehingga kini ramai yang tidak menyedari bahawa disebabkan oleh faktor kepanjangan perkataan di dalam sesuatu bahasa mempengaruhi gaya pertuturan penutur bahasa itu. Apabila bercakap atau berbahas di dalam bahasa yang perkataannya adalah pendek-pendek, perkataan semata-mata adalah mencukupi untuk menyampaikan mesej dalam kerangka masa yang begitu terbatas (words alone were enough to deliver the messages within such limited time frame). Ini kerana perhatian audien sudahpun ditarik oleh apa yang akan disampaikan seterusnya dalam perkataan-perkataan yang akan diucap.

Namun di dalam bahasa yang perkataannya adalah panjang-panjang, words alone were not enough to deliver the messages within such limited time frame, lalu penutur atau pembahas memerlukan banyak unsur-unsur lain untuk menarik perhatian audien. Disebabkan oleh perkataan yang panjang, mesej bergerak lambat dan perhatian audien mudah terseliuh kerana jemu menanti mesej yang mahu disampaikan seterusnya, yang bergerak lambat disebabkan oleh faktor kepanjangan perkataan atau ungkapan yang mengandungi mesej tersebut. Di samping itu audien juga, disebabkan oleh rasa tak sabar menanti lalu mahu cepat membuat kesimpulan setelah mendengar atau melihat clue-clue tertentu, segera hilang tumpuan setelah menyangka yang dia telah mendapat mesej seterusnya sedangkan mesej tersebut belum dihabiskan penyampaiannya. Dengan gangguan-gangguan tersebut, dia semakin tidak dapat memberi tumpuan kepada apa yang cuba disampaikan di hadapannya.

Sebab itulah orang-orang yang bercakap di dalam bahasa yang perkataannya panjang-panjang, bila dia bercakap di dalam sesi yang kerangka waktunya adalah terbatas, misalnya di dalam perbahasan, syarahan, dan juga di dalam pertengkaran malah dalam perbualan biasa, mereka menggunakan banyak unsur-unsur tersebut iaitu intonasi yang berlebihan, emosi, awangan tangan dan sebagainya, untuk mengiringi lontaran perkataan mereka. Lebih panjang perkataan yang digunakan di dalam sesuatu bahasa itu, lebih tinggi dan lebih banyaklah unsur-unsur tersebut digunakan.

Pada tahun 1990, saya berkunjung ke Acheh bersama dengan Persatuan Karyawan Perak (kunjungan dipimpin oleh Abu Bakar Sidek, wartawan kanan Utusan Malaysia yang juga Naib Ketua Satu Persatuan Karyawan Perak) bagi menghadiri Muzakarah Ulama Se Indonesia anjuran Majlis Ulama Indonesia Propinsi Daerah Istimewa Acheh (MUIPDIA). Dalam surat yang saya terima daripada MUIPDIA (malangnya surat tersebut telah tidak dapat dikesan), saya menggeleng kepala membaca, antara lain, “Adalah saya merujukkan bapak yang terhormat kepada perkara yang tersebut di atas yang telah tersedia termaklum oleh bapak yang terhormat.” Kebiasaan saya di dalam menulis surat rasmi ialah, “Saya rujuk perkara di atas”.

Ketika berbual dan bergaul dengan ahli-ahli persatuan tersebut, saya dapati dua perkara yang cukup menarik minat saya, pertama, mereka menggunakan bahasa Indonesia yang sempurna (seperti bahasa persuratan Indonesia) ketika berkomunikasi walaupun dalam suasana yang tidak formal. Kedua, hampir semua mereka menggunakan intonasi dan gaya yang begitu ketara sehinggakan mereka seolah-olah berlagu di dalam dialog mereka. Kajian dan pemikiran saya akhirnya menemui sebab kenapa mereka bercakap dengan gaya sedemikian : perkataan yang panjang dan jumlah perkataan yang banyak dalam bahasa Indonesia yang sempurna yang cuba ditutur menyebabkan penuturnya memerlukan dialog seperti berlagu bagi menarik perhatian audien atau orang yang dilawan bercakap!

Semasa saya kecil dahulu, saya melalui pengalaman yang tidak saya sukai, iaitu perselisihan faham di antara dua orang yang sangat saya sayang, iaitu Pak Su dan Pak Tam. Pak Su adalah adik kepada ibu saya manakala Pak Tam adalah rakan baik Pak Su yang sentiasa bersama Pak Su walau di mana mereka berada. Mereka mengajar di sebuah sekolah yang sama di Alor Setar, namun, dalam dua atau tiga minggu sekali, mereka pasti sampai ke rumah kami dengan vespa Paksu walaupun jarak di antara Alor Setar dengan rumah kami di Bongor, Baling, adalah amat jauh iaitu lebih daripada 140 kilometer. Bagi kami dan juga Datuk dan Nenek serta semua abang dan kakak Pak Su, Pak Tam tak ubah seperti anak Datuk dan Nenek sendiri. Datuk dan Nenek tinggal di Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Seberang Perai.

Pak Tam yang telah bertunang kemudiannya jatuh hati dengan Kak Cik, anak Pak ‘Njang iaitu abang Pak Su. Pak Tam memutuskan pertunangannya dan meminang Kak Cik dan tak lama kemudian mereka pun berkahwin. Ketika itu Pak Tam telah berpindah sekolah dan mengajar sebuah sekolah di Padang Serai.

Di hari majlis perkahwinan, Pak Su balik ke rumah Datuk, yang terletak bersebelahan rumah Pak ‘Njang. Pada hari ketiga, Pak Tam datang berjumpa Pak Su dan meminta meminjam vespa daripada Pak Su. Berlaku pertengkaran di antara mereka. Pak Su yang terkilan dengan sikap Pak Tam yang tidak langsung menjenguknya sama sekali sejak hari pertama Pak Su sampai kerana leka dengan keluarga mertuanya dan kereta bapa mertuanya yang dipandunya ke sana kemari malah bila nampak Pak Su pun, menurut Pak Su, Pak Tam berpura-pura tidak nampak Pak Su.

“You have got a rich family, and got his car to be driven here and there, you can’t even notice me anymore,” demikian antara kata-kata Pak Su kepada Pak Tam. “Only now, when you want to use my vehicle, when you want to use me, you would come to me. What kind of friend are you!” Itulah antara perbualan mereka, yang tidak dapat saya tangkap sepenuhnya kerana pada masa itu bahasa Inggeris saya amat lemah, tetapi diceritakan semula oleh Pak Su kepada Datuk dan Nenek.

Sebenarnya hubungan di antara Pak Su dan Nenek dengan keluarga Pak ‘Njang, terutamanya dengan Mak ‘Njang dan Kak Cik, boleh dikatakan tidak baik. Nenek dengan Mak ‘Njang sering sahaja bermasam muka dan tidak bertegur sapa, ada kalanya hingga bertahun-tahun. Jadi faham sahajalah kenapa Pak Su amat marah bila Pak Tam dianggapnya ‘berlagak’ dengannya sebaik sahaja menjadi menantu Pak ‘Njang. Pak ‘Njang adalah juga seorang guru dan ketika itu adalah guru besar sebuah sekolah kebangsaan tak jauh dari Lahar Yooi, dan Mak ‘Njang pula duduk di rumah tetapi aktif bersawah dan melakukan kerja-kerja kampung seperti membela ayam itik, menahan lukah, tajok malah menjala ikan di sungai. Ikan haruan, keli, sepat dan puyu yang banyak ditangkapnya dikeringkan dan disalai dan dijual dan kami bersama Datuk dan Nenek adalah antara pembeli ikan-ikan kering Mak ‘Njang (juga pembeli buah kundang di sebelah rumah Datuk yang dahulunya milik Datuk tetapi telah menjadi milik Mak ‘Njang menerusi suatu urusan kekeluargaan).

Pertengkaran Pak Su dan Pak Tam di beranda rumah dan tidak dicampuri oleh sesiapa itu yang mengambil masa lebih daripada satu jam. Tetapi dialog-dialog antara mereka diucap bahasa Inggeris sepenuhnya, mungkin supaya Datuk dan Nenek serta ahli-ahli keluarga yang lain tidak memahami butir-butir pertengkaran mereka, oleh itu tidak ada sesiapa yang menyibuk turut campur. Kedua-duanya tidak meninggikan suara, yang tampak hanyalah pertukaran dialog, di akhir dialog, saya lihat Pak Tam menangis teresak-esak sambil menghidupkan vespa Pak Su. Walaupun Pak Su akhirnya meminjamkan vespanya kepada Pak Tam, namun sejak saat itu, mereka tidak pernah bertegur sapa atau saling mengunjung lagi walaupun Pak Tam telah bertukar status daripada seorang kawan kini menjadi menantu saudara Pak Su.

Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah betapa, dalam dialog yang mengambil masa yang begitu lama, tidak ada pihak yang gagal mengawal emosinya. Pasti perasaan mereka telah diluahkan sepenuhnya, jika tidak, kenapa selepas itu mereka terus tidak bertegur sapa buat selamanya? Pasti ada dialog-dialog yang benar-benar menghiris perasaan masing-masing – tetapi mesej di dalam dialog tersebut disampaikan menerusi perkataan dan bukannya emosi atau pekekan.

Jika diperhatikan di sekeliling, serta menerusi paparan drama di filem atau tv, tentu kita dapat melihat betapa pertengkaran di dalam bahasa Inggeris, bahasa-bahasa Cina dan bahasa-bahasa yang perkataannya adalah pendek-pendek tidak begitu emosional. Di dalam filem-filem Inggeris, biasanya seorang yang amat marah sekalipun tidak meninggikan suaranya tetapi mengeluarkan kata-kata yang jelas terpancar kemarahannya walaupun bibirnya tersenyum ketika mengungkap kata-kata tersebut. Bagaimanapun di dalam budaya yang perkataan di dalam bahasanya adalah panjang-panjang, biasanya rasa marah dilontar menerusi perkataan yang beriring dengan emosi yang amat tinggi atau pekikan yang amat kuat, dan juga penggunaan perkataan mencerca yang tidak sepatutnya diucap.

Semua ini bertitik tolak daripada hakikat bahawa, lebih panjang perkataan-perkataan yang digunakan di dalam sesuatu bahasa itu, lebih pendeklah mesej yang dapat disampaikan menerusi bahasa tersebut. Bila mesej tidak dapat disampaikan secukupnya menerusi perkataan, sudah pasti ia terpaksa beriring dengan emosi, intonasi berlebihan, awangan tangan dan sebagainya. Sebab itu perbahasan atau pertengkaran di dalam bahasa-bahasa yang perkataannya adalah lebih pendek berlaku lebih cool walaupun kesan selepas itu adalah jauh lebih hebat.

Related posts:

Advertisements
Advertisements
%d bloggers like this: