Pelajar terbaik Malaysia

“Saya mengambil keputusan meletak jawatan dengan memberi notis 24 jam dan sebulan gaji..”

Advertisements

1. Sejak mulai mengajar kaedah Mokhdar sama ada menerusi ceramah-ceramah, kelas-kelas bimbingan atau bengkel-bengkel rengkas atau intensif sejak masih bekerja sebagai Majistret Kanan pada tahun 1990 (tarikh di mana kaedah Mokhdar mulai mendapat publisiti media massa), saya sentiasa mengharapkan bahawa pada suatu masa nanti akan ada seorang pelajar yang menjadi pelajar terbaik di mana-mana peringkat, sama ada peringkat kebangsaan, negeri, daerah atau lain-lain, dan diberi liputan akhbar, akan memberi kenyataan kepada media dan kenyataannya tersiar, bahawa antara pemangkin kejayaannya adalah penggunaan atau amalan kaedah Mokhdar.

Pada tahun 1992, seorang pelajar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, yang berasal dari Bagan Datoh dan berbangsa Cina, membuat attachment dengan mahkamah saya di Teluk Intan. Saya hanya ingat nama pangkalnya sahaja iaitu Tan. Dalam masa tiga bulan, setiap hari beliau melaporkan diri kepada saya. Di samping mendedahkan kepada beliau segala urusan pentadbiran keadilan, malah saya pernah membawanya naik dan duduk di sebelah saya di atas bench ketika mengendalikan sebutan dan perbicaraan, boleh dikatakan habislah segala teori dalam buku Revolusi Bahasa Bahasa Revolusi saya (yang membicarakan tentang kenapa Melayu tertinggal di dalam segala bidang dibanding dengan kaum Cina dan lain-lain), dan antara hasil pemikiran tersebut iaitu kaedah Mokhdar, saya perturunkan kepadanya. Saya ajar beliau kaedah ini dan segala kemahiran yang boleh dicapai menerusi kaedah Mokhdar, terutamanya kemahiran mengingat fakta-fakta angka seperti peruntukan undang-undang dan citation of cases, tarikh-tarikh, nombor-nombor anggota polis dll yang saya kira penting untuk dimiliki olehnya sebagai seorang pelajar undang-undang.

Semasa bertugas sebagai the First Legal Officer of the then Supreme Court, beliau yang ketika itu menjadi Presiden (atau mungkin Setiausaha) Persatuan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa yang ketika itu masih menumpang kampus di bangunan Maktab Perguruan Islam Petaling Jaya, datang berjumpa saya dan menjemput saya untuk memberi ceramah kepada pelajar Undang-Undang Universiti tersebut dalam suatu program yang diatur khusus oleh Persatuan beliau. Dengan kelulusan yang diberi oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Agung pada masa itu iaitu Encik Hashim Dato’ Yusof (kini Dato’ Hashim merupakan salah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan), saya memenuhi jemputan tersebut dengan memberi ceramah mengenai Revolusi Bahasa dan Kaedah Mokhdar kepada pelajar-pelajar undang-undang UIA selama hampir tiga jam, dan diberi response yang saya kira amat baik.

Selepas bertugas selama empat bulan di Mahkamah Agung, saya mengambil keputusan meletak jawatan dengan memberi notis 24 jam dan sebulan gaji. (Saya mengambil keputusan memberi notis 24 jam kerana pernah, kira-kira tujuh tahun lalu, setelah memberi notis tiga bulan untuk meletak jawatan bagi memulakan hidup baru sebagai peguam swasta, saya menarik balik keputusan tersebut setelah dipujuk oleh boss saya, yang amat prihatin terhadap saya dan anak-anak dan isteri saya (isteri saya tidak bekerja), takut jika venture baru saya akan gagal. Pembatalan perletakan jawatan tersebut berlaku setelah majlis perpisahan untuk saya dan beberapa orang pegawai lain yang akan berpindah telahpun dirancang, sehingga akhirnya pengerusi majlis terpaksa membuat pengumuman mengeluarkan nama saya daripada salah seorang yang diraikan kerana pembatalan perletakan jawatan saya).

Selepas meletak jawatan, saya terputus hubungan dengan Tan. (Ketika itu teknologi telefon mobil belum berkembang dan hanya mahasiswa yang mempunyai ibu bapa yang benar-benar kaya sahaja yang mampu memiliki handphone. Saya menggunakan telefon ATUR tetapi panggilan menggunakan atau ke ATUR memakan kos yang amat tinggi dan saya sendiri terpaksa menggunakan telefon awam untuk berbual panjang dengan anak-anak dan isteri saya).

Setahun selepas meletak jawatan, saya terbaca berita bergambar di dalam akhbar New Straits Times yang Tan telah dianugerahkan Ijazah Kepujian Kelas Pertama Undang-Undang oleh Universiti Islam Antarabangsa. Dalam gambar yang disiar, tertera gambar Tan bersama dua orang pelajar lain yang menerima anugerah kerana kecemerlangan mereka. (Petikan laporan bergambar berkenaan akan saya cari dan papar di blog http://kelabdarians.blogspot.com/.

2. Di sepanjang 2007, saya bergerak di Johor. Pada bulan April, saya singgah di Sekolah Menengah Sains Kluang. Dengan senang hati, pengetua sekolah tersebut yang, semasa menjadi Penolong Kanan di Sekolah Menengah Sains Muar pada tahun 1996 dahulu, telah menjemput saya menjalankan ‘bengkel sehari suntuk bersama Kaedah Mokhdar’ di sekolah tersebut, memberi laluan kepada saya untuk memberi ceramah tentang kaedah Mokhdar kepada semua guru dan pelajar di sekolahnya, malah membuat bayaran kepada saya untuk ceramah saya.

Biasanya ceramah di sekolah-sekolah asrama penuh diadakan di luar waktu persekolahan. Namun pengetua berhasrat agar guru-guru juga turut dapat sama mengikuti ceramah saya yang sebenarnya amat berkait rapat dengan P & P (Pengajaran dan Pembelajaran), Pengetua mencadangkan agar ia dijalankan pada waktu persekolahan.

Kaunselor (saya terlupa nama beliau) yang mempengerusikan majlis telah memaklumkan kepada hadirin betapa beliau telah meminta anak beliau, yang belajar di dalam tingkatan dua di sekolah lain, bercuti pada hari itu untuk membolehkan dia hadir mendengar ceramah saya yang pada hematnya amat penting dan amat berfaedah kerana dia sendiri telah mendengar ceramah saya yang diadakan di sekolah tersebut kira-kira empat tahun yang lalu.

Selepas sesi ceramah, Kaunselor menjemput saya ke kantin untuk jamuan. Anak beliau turut menyertai kami. Di dalam perbualan tersebut, Kaunselor menceritakan kepada saya bahawa Nadia, yang menjadi pelajar terbaik SPM Malaysia 2006 (bagi sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran), yang mendapat 17A1 bagi kertas SPMnya, adalah sebenarnya bekas pelajar sekolah tersebut. Nadia juga turut mendengar ceramah yang saya sampaikan kira-kira empat tahun lalu tersebut, malah turut membeli buku tentang kaedah Mokhdar yang saya bawa.

Lebih kurang sebulan selepas sesi ceramah tersebut, Nadia telah mengambil keputusan untuk meninggalkan Sekolah Menengah Sains Kluang dan belajar di sekolah harian yang berdekatan dengan rumah keluarganya kerana dia bercita-cita mahu mengambil sebeberapa banyak subjek di dalam peperiksaan SPMnya nanti.

Daripada perbualan dengan Kaunselor dan sikapnya terhadap saya dan kaedah Mokhdar, saya percaya bahawa sedikit sebanyak, ceramah saya dan kaedah Mokhdar pasti merupakan antara pemangkin yang membantu nadia menjadi pelajar terbaik Malaysia.

Malah semasa membaca laporan akhbar tentang kejayaan Nadia, saya begitu teruja bila membaca kenyataan Nadia yang antara pemangkin kejayaannya ialah pembacaan buku-buku motivasi. Saya teruja kerana pada masa itu saya merasakan yang buku yang akan disebutnya ialah buku ‘kaedah Mokhdar’, kerana bagi kebanyakan orang, buku-buku tentang kaedah Mokhdar dianggap sebagai buku motivasi, sedangkan bagi saya, ia bukanlah buku motivasi sebaliknya ia adalah sebuah buku yang membentangkan cara yang paling mudah dan berkesan di dalam menangani input-input mathematical yang merupakan antara elemen paling penting di dalam subjek-subjek sains dan matematik.

Bagaimanapun rasa teruja tersebut segera padam bila dia dilaporkan berkata, “antara buku-buku tersebut ialah buku-buku tulisan H.M.Tuah Iskandar”. Walaupun H.M.Tuah Iskandar, yang merupakan bekas seorang wartawan, merupakan antara orang yang paling kuat memberi sanjugan kepada saya dan kaedah Mokhdar malah sering menyebut tentang nama saya dan kaedah ini di dalam tulisan-tulisan beliau sama ada di akhbar, majalah atau buku-bukunya, dan kenyataan Nadia tersebut secara remotenya adalah juga memberi kredit kepada kaedah Mokhdar, namun kenyataan tersebut tidaklah cukup untuk saya kemukakan sebagai testimoni keberkesanan kaedah Mokhdar.

Namun perbualan dengan Kaunselor SMS Kluang tersebut menyegarkan kembali ingatan saya kepada perbualan dengan Fatimah bt Hj Abdul Latip, salah seorang pelajar terbaik UPSR Pulau Pinang bagi 2005 (top 35).

Fatimah pernah menghadiri bengkel Kaedah Mokhdar selama seminggu semada di Tahun Empat. Beliau memang cekap dengan kaedah Mokhdar, dan sebelum ini nama dan gambar beliau sering saya siar di dalam risalah-risalah saya bagi menunjukkan betapa kaedah dan bengkel lapan hari ini amat berkesan di dalam melonjakkan kemampuan pelajar, tak kira di tahap mana mereka berada. Sebenarnya bukan Fatimah sahaja yang menjadi pelajar top 35 UPSR Pulau Pinang bagi tahun 2005, tetapi dua orang rakannya sekelasnya turut menjadi antara top 35 tersebut. Sekolah Fatimah juga, Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi, sebuah sekolah luar bandar, telah menghasilkan 25 orang pelajar 5A walaupun yang menduduki UPSR tak sampai pun 50 orang. (Jumlah keseluruhan pelajar sekolah tersebut ialah 464 orang). Saya percaya bahawa, di samping faktor kegigihan guru dan pelajar, faktor cabaran oleh Fatimah dan kaedah Mokhdar juga turut memangkin pencapaian tersebut kerana menurut Fatimah dan bapanya, sejak mengikuti bengkel Mokhdar, kemampuan Fatimah amat terserlah dan dia dan rakan-rakan bersaing sengit sesama mereka. Fatimah juga turut mengajar rakan-rakannya tentang kaedah Mokhdar.

Semasa belajar di Tahun 3, Fatimah telah mengikuti program Bengkel Mokhdar Lapan Hari semasa program itu saya jalankan di kampung saya di mana peserta yang menginap saya tempatkan di rumah arwah Emak dan kelas dijalankan di sekolah agama rakyat. Oleh kerana hubungan saya dengan keluarga Fatimah amat rapat, saling bantu membantu dan mereka pula adalah jiran arwah Emak, saya benarkan Fatimah mengikuti program tersebut secara percuma sahaja. Fatimah adalah pelajar yang pintar dan tekun. Bukan sahaja dia mudah memahami dan mengaplikasikan apa yang diajar, malah dia juga rajin mengajar rakan-rakannya tentang kaedah tersebut. Oleh itu ilmu yang dipraktikkannya selama mengikuti bengkel lapan hari tersebut semakin mantap.

Pada tahun 2005, ketika saya berada di kampung (Lahar Yooi, Tasik Gelugor, Seberang Perai) dan mahu menjalankan program itu sekali lagi di situ (ketika itu saya banyak menghabiskan masa di Perlis bagi membantu mengendalikan program Projek Rintis Perlaksanaan Kaedah Mokhdar di 10 buah sekolah di Perlis). Ibu bapa Fatimah ghairah menceritakan betapa Fatimah sentiasa mendapat perhatian guru-gurunya sejak mencekapi Mokhdar. Malah beberapa orang guru Fatimah menyuarakan hasrat mahu bertemu dengan saya bila mengetahui yang saya adalah orang kampung itu.

Bila saya ke sekolah tersebut, bertemu dengan guru besar menyuarakan tujuan mahu menyewa kemudahan sekolah bagi menjalankan program tersebut (beliau membenarkannya setelah mendapat kebenaran daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah), beberapa orang kakitangan pejabat dan guru sekolah itu begitu teruja melihat kecekapan saya mengingat nombor-nombor kad pengenalan mereka dengan imbasan pandang dalam masa kurang dari 0.3 saat. Mereka semakin teruja bila diberitahu bahawa Fatimah, pelajar Tahun Enam, yang sememangnya amat dikenali kerana kepintarannya, pernah mengikuti program Bengkel Lapan Hari semasa dia di Tahun Tiga dahulu. Mereka memaklumkan kepada saya bahawa Fatimah adalah antara calon pelajar terbaik UPSR sekolah.

Pada hari keputusan UPSR diumumkan, saya sememangnya berada di sekolah itu kerana mengendalikan program “Bengkel Lapan Hari Masa Cuti Melahirkan Genius Sains dan Matematik menerusi Kaedah Mokhdar”. Sekolah itu juga mencatatkan keputusan luar biasa pencapaian UPSR, di mana 25 orang pelajar daripada pelajar-pelajar yang mengambil UPSR mendapat keputusan 5A (jumlah yang mengambil UPSR tak sampai pun 60 orang) dan tiga orang pelajar sekolah tersebut, termasuk Fatimah, diisytiharkan sebagai pelajar Top 35 UPSR Pulau Pinang.

Sekolah tersebut juga dikunjungi oleh ramai wartawan, termasuk dari Bernama, The Star, NTV7, the New Straits Times dan lain-lain. Selepas diberitahu yang para wartawan mahu menemuduganya, Haji Latip, ayah Fatimah, bergegas mendapatkan saya meminta saya bercakap bagi pihaknya kepada para wartawan.

“Wartawan nak temuduga bapa Fatimah, dan bukan nak berjumpa dengan saya. Mana boleh saya yang bercakap pula?”

“Apa saya nak jawab?” tanyanya.

“Jawablah apa sahaja yang nak dijawab, bukan soalan yang susah pun.

Oleh kerana jumlah hadirin yang memenuhi dewan tempat di mana diadakan sidang khas bagi mengumumkan keputusan pencapaian pelajar-pelajar sekolah itu adalah terlalu ramai, saya tidak dapat menghampiri sesi temuramah para wartawan dengan Fatimah. Bagaimanapun sebaik sesi temu ramah itu selesai, Fatimah segera mendapatkan saya.

“Cek dah bahag (beritahu) semuanya kepada wartawan. Cek bagi tau depa yang cek dapat keputusan cemerlang ini kerana antaranya, cek praktik kaedah Mokhdar,” Fatimah ghairah memberitahu saya.

“Depa tak tanya kaedah Mokhdar ‘tu kaedah apa?” saya bertanya.

“Memang depa tanya. Cek jawab, sapa sahaja yang guna kaedah Mokhdar akan mudah belajar matematik, matematik tambahan, biologi, fizik, kimia dan sebagainya.”

“Hang tak pernah belajag pun matematik tambahan, biologi, fizik dan kimia, yang hang pi sebut macam tu buat apa?” kata saya.

Malam itu saya tak sabar menunggu siaran berita NTV7. Temuduga dengan Fatimah tersiar, namun tidak ada satu pun bunyi ‘kaedah Mokhdar’ tersiar.

Besoknya saya beli semua akhbar. Hampir semua akhbar menyiar berita kejayaan Fatimah, tetapi siaran yang paling menyerlah ialah siaran dalam akhbar muka depan The Star. Gambar Fatimah tersiar di muka depan. Di dalamnya tersiar lagi gambar lain yang lebih hebat, iaitu gambar Fatimah sedang mengunjukkan keputusannya kepada Haji Latip. Rupa-rupanya selepas sesi di sekolah, para wartawan meminta Haji Latip dan Fatimah ke sawah lalu merakam lakonan Fatimah mengunjukkan slip keputusan kepada Haji Latip di tengah sawah!

Saya membaca berulang kali laporan tersebut, takut kalau-kalau kenyataan Fatimah mengenai penggunaan kaedah Mokhdar olehnya terlepas pandang oleh saya, namun nyata bahawa kenyataan itu tidak tersiar sama sekali. Yang tersiar ialah, kononnya, antara pemangkin kejayaan Fatimah ialah janji oleh bapanya, seorang pengikut setia PAS, sentiasa berserban dan hampir setiap hari berada di surau untuk berjemaah Maghrib, Isya dan Subuh, bahawa, jika Fatimah berjaya cemerlang, Fatimah akan dibawa olehnya ke Genting Highland (sebuah bandar peranginan dan pusat perjudian terkemuka) dan tinggal di sana selama dua hari.

Daripada perbualan saya dengan Haji Latip, dialog tersebut tidak pernah pun diucap olehnya.

Perbualan dengan kaunselor Sekolah Menengah Sains Kluang itu menimbulkan rasa syak, bahawa buku yang disebut oleh Nadia dulu mungkin buku kaedah Mokhdar, buku yang turut dibelinya semasa ceramah saya di sekolah tersebut dulu, namun oleh kerana Dr.Tuah Iskandar adalah bekas seorang wartawan, dan kebanyakan buku-buku beliau diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf, syarikat yang aktif menerbitkan pelbagai akhbar dan majalah dan sering juga memuatkan tulisan wartawan-wartawan dari akhbar lain, maka bila nama buku beliau disebut, mudah sahaja ia ditulis dan dilepaskan untuk siaran.

Sedangkan bila disebut buku ‘kaedah Mokhdar’, ia mudah sahaja diabaikan sama ada oleh pemberita atau oleh editornya walaupun kaedah Mokhdar sebenarnya bukan sebuah buku motivasi seperti buku-buku lain yang berlambak di pasaran, yang para penulisnya terdiri daripada tokoh-tokoh tersohor, termasuk Dato’ Dr.Fadhilah Kamsah, hinggalah kepada penulis-penulis yang tidak bernama. Kaedah Mokhdar adalah suatu kaedah yang amat terbukti kerana sebaik sahaja ia mulai digunakan, penggunanya akan terus merasai perubahan yang luar biasa berhubung dengan kecekapan di dalam menguruskan input-input mathematical, atau mungkin lebih mudah disebut sebagai input-input matematik dan sains.

3. Sazali, pelajar terbaik SPM Malaysia bagi 2007, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah, adalah anak kepada guru-guru Sekolah Menengah Dato’ Haji Ahmad Badawi, Kepala Batas. Ceramah kaedah Mokhdar untuk kedua-dua sesi pagi dan petang di telah diadakan di sekolah tersebut pada bulan September 2005, dan ramai daripada guru-guru dan pelajar sekolah tersebut yang membeli buku-buku dan bahan-bahan mengenai kaedah Mokhdar yang dijual selepas ceramah tersebut, malah ramai pula yang menghantar anak-anak mereka mengikuti Bengkel Lapan Masa Cuti Melahirkan Genius Sains dan Matematik yang diadakan pada awal cuti sekolah iaitu pada awal November 2005 di Sekolah Kebangsaan Lahar Yooi dan kemudiannya pada pertengahan cuti Disember 2005 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irsyad, Pokok Sena. Mungkin saya hanya cuma mampu syok sendiri dengan fakta ini kerana tidak ada sesiapa pun, baik Sazali mahupun kedua ibu bapanya, yang menyebut apa-apa tentang kaedah Mokhdar semasa interbiu dengan mereka tersiar di media massa.

(Pada tahun 2004, saya juga hanya mampu syok sendiri bila seorang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Koyan, Kuala Lipis, Pahang, diisytihar sebagai calon UPSR terbaik Malaysia bagi tahun 2004 kerana pada bulan Mach tahun tersebut, Bengkel Intensif Lapan Hari Melahirkan Genius Sains dan Matematik masa cuti telah diadakan di Felda Sungai Koyan dan telah disertai oleh ramai anak peneroka tanah rancangan tersebut. Tidak ada apa-apa pernyataan yang tersiar di TV dan akhbar atau majalah berhubung dengan penggunaan kaedah Mokhdar oleh pelajar berkenaan.

Pada 2006, calon terbaik SPM Malaysia sebenarnya jatuh kepada Fatimah bt Mokhtar, seorang pelajar Maahad Muhammadi (Perempuan) di Kota Bharu, yang mendapat A1 bagi kesemua 18 kertas yang diambilnya, manakala Nadia (calon bekas pelajar SMS Kluang yang saya sebut di atas), hanya mendapat tempat kedua. Saya juga hanya mampu syok sendiri bagi kes Fatimah kerana beliau adalah salah seorang daripada pelajar yang menginap di asrama dan pada awal tahun, asrama Maahad Muhammadi (Perempuan) telah menganjurkan program ceramah Kaedah Mokhdar oleh saya dan dihadiri oleh kesemua penghuni asrama sekolah tersebut yang berjumlah hampir 700 orang kesemuanya.

Malah kedatangan saya ke sekolah tersebut telah dihantar sendiri oleh EXCO Pelajaran Kelantan iaitu Y.B.Nik Amar bin Abdullah, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola sekolah tersebut. Beliau menawarkan untuk menghantar saya kerana takut jika saya sesat jalan selepas saya bersama beliau mengunjungi seorang lagi saudara beliau yang telah koma selama lebih daripada dua tahun kerana dilanggar kereta, setelah saya dan Haji Latip (bapa Fatimah yang datang bersama saya dari Seberang Perai) menziarah beliau di rumahnya. Arwah bapa Nik Amar sebenarnya berasal dari Seberang Perai dan mempunyai pertalian keluarga dengan arwah datuk saya dan juga datuk Haji Latip iaitu bapa Fatimah.

Related posts:

Advertisements
Advertisements
%d bloggers like this: