Kenapa Melayu malas membaca?

Orang yang mempunyai otak paling bergeliga sekalipun, sekiranya dia kurang membaca, atau malas membaca, dia tetap juga seorang yang tidak bermaklumat

Advertisements

Tidak ada sesiapa pun dapat menafikan bahawa membaca adalah gerbang kepada segala ilmu. Orang yang mempunyai otak paling bergeliga sekalipun, sekiranya dia kurang membaca, atau malas membaca, dia tetap juga seorang yang tidak bermaklumat, atau dalam bahasa yang lebih kasar, bodoh. Budaya membaca di kalangan masyarakat Melayu, dibanding dengan masyarakat di Eropah, atau masyarakat Cina di Malaysia, adalah amat lemah. Pelajar atau orang Melayu bagaikan tidak suka membaca.

Bayangkan seorang peguam, majistret atau hakim yang kurang membaca jurnal perundangan, seorang doktor yang tidak membaca jurnal perubatan, seorang pegawai polis yang tidak membaca jurnal perundangan dan jurnal kepolisian, seorang ahli politik yang tidak membaca jurnal atau bahan tentang hal ehwal politik dan pentadbiran, seorang pelajar yang tidak membaca buku teks atau bahan-bahan rujukan tambahan.

Semua mereka yang malas membaca seperti ini, jika jadi seorang peguam, majistret atau hakim, dia bukan seorang peguam, majistret atau hakim yang baik. Jika dia jadi doktor, dia hanya mampu membuat kerja-kerja rutin seorang doktor biasa di klinik biasa, jika dia seorang pegawai polis, hasil siasatannya adalah lemah dan orang yang telah melakukan kesalahan yang amat serius sekali pun mudah sahaja dilepaskan atas alasan teknikal di sebabkan oleh siasatan yang lemah (bayangkan gabungan seorang hakim, pegawai pendakwa dan pegawai penyiasat yang lemah, makin bergandalah peluang untuk tertuduh melepaskan diri dari hukuman).

Jika dia jadi seorang ahli politik yang berkuasa, dia jadi ahli politik yang dangkal dan terperangkap di dalam kedangkalan dan kekuasaannya. Dia berpotensi jadi diktator yang mentadbir negara mengikut citarasa whimsicalnya.

Jika dia seorang pelajar, dia jadi pelajar yang sentiasa memeningkan kepala pengetua, guru besar dan guru-gurunya kerana bakal menyumbangkan kepada kerendahan prestasi keseluruhan sekolahnya di dalam bidang akademik. (Bayangkan pula gabungan seorang pelajar, guru dan pengetua atau guru besar yang lemah, maka makin bergandalah kelemahan prestasi sesebuah sekolah).

Apa yang menjadikan seseorang itu malas membaca sedangkan kerajinan membaca adalah antara kunci penting bagi kejayaan seseorang bagi setiap bidang yang diceburi seseorang, waimma bidang masak memasak atau pertukangan kayu! Di samping faktor pengaruh persekitaran, didikan dan faktor kelembapan minda, pernah tak anda terfikir bahawa faktor perkataan yang panjang memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya yang menyebabkan seseorang malas membaca.

Oleh kerana dia berada di dalam masyarakat, bersama dengan orang-orang lain yang juga malas membaca, dia membentuk suatu kumpulan masyarakat yang tidak gemar membaca – bererti dia membentuk environment yang seterusnya mempengaruhi ahli-ahli keluarga dan ahli-ahli masyarakatnya yang menyebabkan masyarakatnya jadi masyarakat yang tidak gemar membaca. Faktor ini berada dalam kitaran seperti kitaran ayam dengan telur, mana yang datang dulu, ayam atau telur?

Untuk mulai melihat bagaimana sebutan perkataan yang panjang mempengaruhi malas atau rajin seseorang membaca buku atau bahan-bahan bacaan lain, cuba sebut perkataan-perkataan berikut menurut kaedah ejaan bahasa Inggeris dan kaedah ejaan bahasa Melayu :

more : mo-re; pore : po-re; score : se-ko-re.
same : sa-me; name : na-me; came : ka-me.

Di dalam contoh-contoh yang diberi di atas, semua perkataan mengandungi jumlah huruf yang sama, tetapi dari segi penggunaan masa, sebutan di dalam bahasa Melayu menggunakan detik masa yang sekali ganda lebih panjang.

Jika anda menyebut ‘more’ seribu kali, bererti anda perlu menggunakan seribu detik. Jika satu detik bersamaan dengan 0.25 saat, seribu detik bererti anda menggunakan 250 saat.

Jika anda menyebut ‘mo-re’ seribu kali, bererti anda perlu menggunakan dua ribu detik. Jika satu detik bersamaan dengan 0.25 saat, dua ribu detik bererti anda menggunakan 500 saat.

Berdasarkan kepada premis yang sama, membaca sebuah buku atau bahan di dalam bahasa Melayu dengan artikel di dalam bahasa Inggeris yang mempunyai jumlah perkataan yang sama banyak atau hampir sama banyak memerlukan penggunaan masa yang berbeza. Misalnya, jika membaca buku di dalam bahasa Inggeris mengambil masa selama dua jam, membaca padanannya atau terjemahannya di dalam bahasa Melayu pasti akan mengambil masa paling tidak tiga jam kalau tidak pun empat jam.

Cuba lihat petikan laporan akhbar berikut :

STAR Monday 11 February 2008 (15 suku kata)

Koh to move. (3 suku kata)

Penang CM prefers to contest at federal level. (15 suku kata)

BUTTERWORTH: Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon is set to move to the Federal level after confirming that he prefers to move on. Breaking his silence on his political future, the Penang Chief Minister and Gerakan acting president said that he met Prime Minister Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi on Saturday and informed him about this. (90 suku kata)

“I sought his views and told him of my strategy. My preference is to move to a federal post for the benefit of the people. Pak Lah said he will consider it and makea decision,” he told reporters at the Jelutong Gerakan Chinese New Year open house here yesterday. (72 suku kata)

Dr.Kho also said that he had given Abdullah a list of three candidates to take over as chief minister if he was accepted to contest a parliamentary seat. (46 suku kata)

Keseluruhan jumlah suku kata : 241 suku kata.

STAR Isnin 11 Februari 2008 (18 suku kata)
Koh melangkah. (4 suku kata)
KM Pulau Pinang memilih bertanding kerusi parlimen (18 suku kata)

BUTTERWORTH: Tan Sri Dr.Koh Tsu Koon telah memutuskan untuk bertukar ke kerusi parlimen selepas mengesahkan yang beliau ingin bergerak ke hadapan. Memecahkan kebisuannya mengenai masa depan politiknya, Ketua Menteri Pulau Pinang dan pemangku presiden Gerakan itu berkata bahawa beliau telah menemui Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Sabtu dan memaklumkan kepada beliau tentang perkara ini. (153 suku kata)

“Saya mendapatkan pandangannya dan memberitahu beliau tentang strategi saya. Pilihan saya ialah untuk bertukar ke persekutuan bagi faedah rakyat. Pak Lah berkata yang beliau akan mempertimbangkannya dan akan membuat keputusan,” kata beliau kepada para pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina parti Gerakan di sini kelmarin. (114 suku kata)

Dr.Kho juga berkata yang beliau telah memberi kepada Abdullah senarai nama tiga calon yang akan mengambil alih jawatan ketua menteri jika beliau diterima bertanding kerusi parlimen. (66 suku kata)

Keseluruhan jumlah suku kata : 383 suku kata.

Nisbah penggunaan masa bagi membaca laporan tersebut di atas di dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ialah 383 : 241. Mengambil skala di atas, jika A adalah seorang yang cekap di dalam bahasa Melayu dan B pula memiliki kecekapan yang setara A tetapi di dalam bahasa Inggeris, jika A mengambil 383 minit (6 jam 23 minit) untuk membaca sebuah buku, B pula mengambil masa selama 241 minit (4 jam satu minit) untuk membaca buku yang sama tetapi dalam versi bahasa Mekayu.

Perbezaan jumlah masa yang digunakan oleh mereka ialah 383-241 iaitu 142 minit yang bersamaan dengan 2 jam 22 minit. Setelah empat jam berlalu, B telah menghabiskan bacaannya lalu berehat, begitu juga A. Setelah habis waktu berehat, B membuat bacaan kedua dan oleh kerana bacaan tersebut adalah bacaan kedua, pada jam lebih kurang 4 petang, dia telah selesai membaca buku tersebut bagi bacaan kali kedua tersebut. Manakala A pula, pada lebih kurang jam 4 petang tersebut, dia baru menghabiskan bacaan kali pertamanya. Oleh kerana telah keletihan, dia berkira-kira mahu membuat bacaan kali kedua pada hari esoknya. Malangnya oleh kerana masa yang berlalu di antara waktu bacaannya telah berselang sehari, banyak fakta yang telah dilupainya dan esoknya, jika B mengambil masa dua kali lebih laju daripada bacaan pertama, A tidak dapat menggunakan masa sebaik penggunaan masa oleh B. Bacaannya masih juga lambat.

Oleh kerana bebanan masa yang begitu lama, akhirnya dia malas membaca atau membaca sambil lewa lalu tidak dapat memahami sebaik B akan apa yang dibacanya, serta tidak dapat memupuk minat terhadap apa yang dibacanya. Lalu aktiviti membaca baginya menjadi amat membosankan dan membebankan. Fobia dengan pengalaman tersebut, dia jadi semakin malas membaca dan ilmunya semakin berkurangan. B pula, semakin banyak dibaca, semakin ia meruntun minatnya lalu dia membaca banyak lagi bahan-bahan lain. Akhirnya B meninggalkan A di belakang walaupun pada asalnya mereka adalah sebenarnya sama taraf dari segi genetik, sikap, permakanan, environment, guru, keluarga, kedudukan ekonomi dan sebagainya.

Apa yang dibincang di atas belum lagi mengambil kira faktor-faktor lain yang menjadikan bahan di dalam bahasa Melayu memerlukan masa yang lebih lama untuk dibaca. Faktor-faktor tersebut ialah :

Istilah yang panjang.

Banyak ungkapan di dalam bahasa Inggeris yang pendek tetapi menjadi panjang bila diterjemahkan ke bahasa Melayu. Antara contohnya ialah : “I miss you (8 huruf): Saya rindu kepadamu (17 huruf)”; “Hence” (5 huruf): “justeru” (7 huruf)”; “Have you booked the fligt?” (21 huruf) : “Sudahkah awak membuat tempahan tiket penerbangan?” (43 huruf); “Please sign him up” (15 huruf) : “Sila daftarkan nama dia” (20 huruf); “We have clinched our deal” (19 huruf) : “Kami telah memuktamadkan urusniaga kami dan akan melaksanakan urusniaga antara kami” (73 huruf).

Faktor ini memperbanyakkan jumlah perkataan. Sebab itu, jika buku di dalam bahasa Inggeris setebal 200 muka surat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, di tangan penterjemah yang tidak tahu menilai erti keperluan menggunakan perkataan secara economic mungkin (lalu, sebagai contoh, menterjemahkan ‘if’ jadi ‘jikalaulah sekiranyalah’), terjemahan ke bahasa Melayu tersebut paling tidak akan mengandungi 250 muka surat. Untuk membaca 50 muka surat tambahan, pembaca perlu menggunakan masa tambahan antara 30 ke 60 minit. Makin malaslah seseorang itu membaca buku di dalam bahasa Melayu. Oleh kerana penguasaan terhadap bahasa Inggeris juga amat lemah, lantas dia tidak membaca di dalam apa-apa bahasa pun.

Sikap penulis / penterjemah

Penulis atau penterjemah terlalu terbawa-bawa dengan sistem nahu (dan sebagainya) di dalam bahasa Inggeris. Mereka sentiasa mencari istilah padanan untuk bahasa Melayu bagi setiap perkataan di dalam bahasa Inggeris walaupun perkataan padanan itu, berdasarkan sistem bahasa Melayu, adalah sebenarnya tidak perlu.

Sebagai contoh, menjadi kemestian bagi penulis atau perterjemah sedemikian untuk memberi padanan bagi particle a dan the, tanpa mengambil kira bahawa penggunaan articles tersebut di dalam Bahasa Inggeris adalah tidak janggal dan tidak membebankan ungkapan. Lihat contoh berikut :

“The Director General shall appoint a director and two deputy directors in every state. In the event of sudden vacancy of the director of deputy director post or posts, notwithstanding the cause or event giving rise to such vacancy, the most senior person not below the rank of assistant director shall assume the post left vacant. In the absence of such person from the state, the Director General shall immediately appoint any such person from any other state to assume such post.”

Frasa seperti di atas sering diterjemahkan menjadi, “Ketua Pengarah hendaklah melantik seorang pengarah dan dua orang timbalan pengarah bagi setiap negeri. Dalam hal berlakunya kekosongan secara tiba-tiba bagi jawatan atau jawatan-jawatan pengarah atau timbalan pengarah, tanpa mengambil kira sebab atau peristiwa yang menyebabkan kekosongan tersebut, orang yang paling kanan tidak lebih rendah daripada pangkat penolong pengarah hendaklah mengisi jawatan yang ditinggalkan kosong tersebut. Dalam hal ketiadaan orang sedemikian daripada negeri itu, Ketua Pengarah hendaklah dengan serta merta melantik mana-mana orang sedemikian daripada mana-mana negeri lain untuk mengisi jawatan berkenaan”.

Oleh kerana frasa di atas menimbulkan implikasi perundangan, penterjemah atau penggubal khuatir bahawa mengabaikan perkataan tertentu di dalam bahasa Inggeris, walaupun perkataan tersebut adalah tidak perlu, mungkin menghasilkan bencana perundangan yang tidak dapat dijangka. Lantas ‘a director’ diterjemahkan jadi ‘seorang pengarah’ walaupun perkataan ‘pengarah’ tanpa ‘seorang’ sebenarnya sudah memberi maksud yang amat konklusif. Penterjemah atau penggubal sedemikian memberi alasan tambahan iaitu keperluan penggunaan penjodoh bilangan yang merupakan ‘part and parcel of the Malay language’.

Dari sudut ini pula, penterjemah atau penggubal sedemikian tidak pula menghayati bahawa penggunaan ‘penjodoh bilangan’ bakal menghasilkan kekeliruan di dalam gubalan perundangan – bakal menghasilkan bencana perundangan yang tidak dapat dijangkakan. Tidakkah perkataan ‘dua orang timbalan pengarah’ itu boleh menghasilkan dua erti, pertama, ‘dua timbalan pengarah’ (tanpa menggunakan penjodoh bilangan, maksud dari segi gubalan perundangan adalah amat konklusif), dan kedua, ungkapan ‘dua orang timbalan pengarah’ itu boleh membawa maksud lain iaitu ‘dua orang timbalan pengarah’ dalam maksud yang menghasilkan konteks yang sama dengan ‘dua orang Mahathir’, ‘dua orang PM’, ‘dua orang presiden’ dsb. ‘Dua orang’ di sini bukan bererti ada ‘dua orang Mahathir’, ‘dua orang PM’ atau ‘dua orang presiden’. ‘Orang’ di sini boleh membawa kepada maksud ‘pengikut’, ‘orang suruhan’ atau ‘wakil’ bagi Mahathir, PM atau presiden tersebut.

Semua perkataan yang diwarnakan merah di dalam contoh di atas merupakan perkataan-perkataan yang, disebabkan oleh sistem nahunya, menjadi perlu di dalam ungkapan perundangan di dalam bahasa Inggeris tetapi di dalam bahasa Melayu, ia sebenarnya adalah redundant atau superfluous.

Di samping itu, kerana ia menjadi sumber bacaan, ia akan menjadi kegunaan dan kebiasaan umum dan ia akan memparahkan lagi segala masalah yang berkaitan dengan pembaziran masa menerusi penggunaan perkataan dan suku kata yang tidak perlu – menambahkan lagi kos komunikasi dan kos pengurusan kita, dan melembabkan lagi kelajuan pemikiran dan tindakan kita.

Related posts:

Advertisements
Advertisements
%d bloggers like this: