Kenapa filem ‘action’ Melayu tampak lembab

Kepanjangan perkataan menghasilkan jumlah mesej yang lebih pendek yang dapat disampaikan dibanding dengan jumlah mesej yang dapat disampaikan di dalam perkataan-perkataan dalam bahasa yang lebih pendek perkataannya dengan menggunakan kerangka waktu yang sama

Advertisements

Filem Melayu dikatakan tidak bermutu dan lembab. Penerbit, pengarah, pelakon dan keseluruhan tenaga produksi filem Melayu disalahkan kerana gagal menghasilkan filem yang berkualiti yang dapat menarik penonton ke pawagam. Masyarakat Malaysia juga dipersalahkan kerana kononnya tidak memberi sokongan kepada industri filem tempatan. Malah Kerajaan juga dipersalahkan kerana gagal memberi sokongan kepada industri filem Melayu.

Selain dari saya, tidak ada sesiapa pun setakat ini yang melihat atau menulis tentang betapa perkataan yang panjang menyebabkan filem-filem kita, dari aspek dialog dan jalan cerita, sukar dihasilkan. Buku RBBR (terbit pada 1991) yang pada tahun sebelumnya terbit di bawah tajuk Bahasa dan Tamadun Bangsa (BDTB) telah menyentuh secara ringkas tentang handicap yang menghalang penghasilan kualiti yang optimum bagi filem-filem kita, namun saya tidak tahu jika ada sesiapa yang memberi perhatian terhadap hujah yang saya kemukakan menerusi buku-buku tersebut yang jumlah jualannya adalah lebih daripada 10000 naskah.

Semasa berkesempatan berbual dengan Ahmad Tarmimi Serigar, host Selamat Pagi Malaysia selepas talk-show mengenai kaedah Mokhdar di TV satu pada suatu hari pada tahun 1990, saya sempat mengetengahkan tentang betapa kelemahan mutu produksi drama di dalam tv, filem dan teater Melayu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan faktor kepanjangan perkataan di dalam bahasa Melayu. “Kepanjangan perkataan menghasilkan jumlah mesej yang lebih pendek yang dapat disampaikan dibanding dengan jumlah mesej yang dapat disampaikan di dalam perkataan-perkataan dalam bahasa yang lebih pendek perkataannya dengan menggunakan kerangka waktu yang sama”, demikian antara hujah saya.

Ahmad Tarmimi Seregar tidak dapat menerima hujah saya sama sekali kerana baginya, mutu sesebuah filem tidak ditentukan oleh dialognya semata-mata. Saya tidaklah mahu bertegang urat dengan beliau kerana sudah pastilah, sebagai seorang yang telah lama berkecimpong di dalam industri drama dan filem Melayu, beliau merupakan salah seorang daripada intelektual seni yang terperangkap dalam dunia intelektualnya sehinggakan sukar untuk melihat sudut pandangan yang berbeza daripada pandangannya. Sedangkan hujah beliau mudah sahaja dipatahkan, bahawa, memang benarlah kualiti sesebuah drama sama ada drama dalam tv, filem atau teater, tidak boleh diukur dari sudut dialognya sahaja, tetapi tanpa dialog yang baik, bagaimana sesebuah drama itu dapat mencapai kualiti yang terbaik kerana jalan cerita sesebuah drama bergantung hampir sepenuhnya kepada dialognya.

Memanglah filem-filem tanpa dialog Charlie Chaplin di zaman filem bisu pada era lima puluhan masih mampu mengemukakan jalan cerita dan menghiburkan penonton, tetapi dengan kebisuan tersebut, filem-filem tersebut hanya mampu menghiburkan penonton dengan aksi-aksi bodoh atau keterlaluan yang setelah dipapar menjadi bahan berulang kali, menjadi lawak slapstik yang akhirnya menjemukan penonton walaupun ia masih mampu menggeletek hati penonton-penonton yang rendah daya intelektualnya sama ada disebabkan oleh faktor usia, tahap pendidikan atau tahap mentalnya.

Sejak kaedah Mokhdar mulai saya hasilkan dan perkenalkan menerusi akhbar, TV dan radio sejak 1990, saya sering memberi ceramah mengenai kaedah tersebut di sekolah, kolej dan universiti, di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta dan di perhimpunan-perhimpunan masyarakat. Sekiranya audien saya terdiri daripada pelajar-pelajar menengah atau orang dewasa, atau pelajar tahap dua sekolah rendah, antara pesembahan saya yang pasti amat digemari dan mencuit hati audien sehingga mereka ketawa terbahak-bahak ialah lakonan tentang betapa dialog yang panjang menyebabkan aksi di dalam filem Melayu jadi lembab, tidak praktikal dan tidak real.

“I hate you. I don’t want to see your face. You get lost right now or else, I’ll slap you,” demikian dialog 19 suku kata yang menjadi cliche saya . Saya ulang dialog tersebut dua kali dengan setiap adegan mengemukakan mood dan gaya yang berbeza. Akhirnya saya lakonkan adegan tersebut menggunakan bahasa Melayu yang sempurna, “Aku benci kepadamu. Aku tidak mahu melihat muka kamu lagi. Kamu berambus sekarang juga atau jika tidak, aku akan tampar kamu.” (47 suku kata).

Selepas adegan tersebut, adegan seterusnya juga mendapat respons yang amat baik dan tepukan yang amat bergemuruh. Saya melakonkan adegan Hang Tuah bertarung dengan Hang Jebat, di mana ketika sedang bertarung, Hang Tuah berkata, “Oh adindaku Hang Jebat. Kekanda keletihan benar, marilah kita berehat sebentar.” Ucapan hang Tuah disambut oleh Hang Jebat, “Benar kata kekanda itu. Adinda pun keletihan benar, marilah kita berehat sebentar.”

Kemudian saya menegaskan, “Hang Tuah dan Hang berehat bukanlah kerana mereka letih. Pendekar tidak boleh letih, jika letih, mereka akan tewas. Hang Tuah berehat bukan kerana mereka letih. Mereka kerana mereka mahu bercakap, sebab sambil bertarung memang sukar untuk bercakap.”.

“Jackie Chan tak apalah, dia boleh berlawan sambil bercakap.”. (Lalu saya melakonkan babak Jackie Chan bertarung sambil bercakap dalam bahasa yang kononnya bahasa Kantonis). “Robin Hood juga boleh bertarung sambil bercakap – I hate you, I must kill you. Tetapi kita lain, oleh kerana perkataan kita panjang, ketika bertarung, kita kena berhenti bercakap. Ketika bercakap, kita kena berhenti bertarung.”

“Mungkin ada baiknya, untuk menghasilkan filem Melayu yang lebih berkualiti, produser filem kita cuba menerbitkan filem Melayu dengan dialog di dalam bahasa Inggeris, atau menggunakan bahasa daerah yang lebih pendek perkataannya dan lebih praktikal di dalam filem. Kenapa tidak kita hasilkan drama atau filem yang berbudaya Melayu tetapi berbahasa Inggeris, daripada kita menghasilkan filem atau drama yang berbahasa Melayu tetapi berbudaya Inggeris?” begitulah syor saya di dalam ceramah-ceramah saya di sekitar tahun 1989 (di mana ketika itu buku RBBR dan BDTB serta kaedah Mokhdar belumpun diterbitkan) dan beberapa tahun seterusnya.

Buku RBBR dan BTTB berjumlah 12ooo naskah kehabisan stok selepas kira-kira setahun saya meletak jawatan, lebih kurang dua ribu daripadanya habis hancur dimamah anai-anai). Hampir keseluruhan daripada jumlah yang terjual dijual menerusi ceramah-ceramah saya. Antara jabatan kerajaan yang menganjurkan ceramah tersebut ialah Kementerian Penerangan Malaysia menerusi program yang diatur oleh Ketua Pengarah Penerangan, En.Yahya, yang diadakan di auditorium P.Ramlee, Angkasapuri pada tahun 1994. Antara audien yang padat memenuhi auditorium tersebut ialah para penerbit drama radio dan tv serta penerbit dokumentari dari Filem Negara Malaysia. Ketua Pengarah Penyiaran pada masa itu, Dato’ Jaafar Kamin, turut hadir seketika sebelum meminta diri kerana terpaksa menghadiri majlis pengkebumian seorang aktivis seni terkemuka, yang juga merupakan bekas pegawai di RTM, di Alor Setar pada hari itu.

Saya kurang pasti adakah penerbitan sebuah drama Melayu berbahasa Inggeris lakonan Ogy Ahmad Daud, Mustapha Kamal dan Dato’ Haji Rahim Razali, di mana keseluruhan dialog di dalam drama tersebut diucap di dalam bahasa Inggeris tetapi panggilan pangkat bagi watak-watak di dalamnya, seperti Abang Long, Pak Long, Pak Ngah dan sebagainya, menggunakan gelaran-gelaran tersebut.

“Abang Long, what have you done? I’m sure Pak Long would not like it at all,” begitulah antara ungkapan Ogy Ahmad Daud kepada Mustapha Kamal dalam satu babak, jika tidak silap ingatan saya.

Apa yang saya pasti ialah, drama berbentuk sedemikian tidak lagi ditayang sama ada menerusi RTM atau TV3, mungkin disebabkan oleh rating yang amat rendah. Sebenarnya anak-anak dan isteri saya sendiri tidak meminati drama tersebut. Mereka terus sahaja beralih ke saluran lain waktu drama tersebut ditayang, sedangkan pelakon-pelakon yang terlibat adalah pelakon-pelakon yang amat popular dan berwibawa iaitu, antaranya, Ogy Ahmad Daud, Mustapha Kamal dan Dato’ Rahim Razali.

Sebenarnya dari segi jalan cerita, drama tersebut tidak gagal. Yang gagal ialah penerimaan golongan audien yang biasanya mengikuti drama tersebut. Audien yang tidak menguasai bahasa Inggeris sudah pastilah tidak berminat dengan drama tersebut. Audien yang menguasai bahasa Inggeris pula, walaupun memahami dialog-dialog berbahasa Inggeris yang diucapkan dengan lidah Melayu, kebanyakannya merasakan bahawa drama tersebut tidak berpihak di bumi kenyataan, malah tampak mengada-ngada, lebih-lebih lagi sebahagian daripada dialog yang diungkap memang ‘over’ dan tidak diungkapkan oleh pelakon-pelakon drama dalam bahasa Inggeris sendiri. Dengan watak-watak berlatarbelakangkan sebuah keluarga Melayu, audien bukan Melayu pula tentulah tidak begitu berminat untuk mengikuti drama tersebut.

Drama Melayu di dalam dialog bahasa Inggeris mungkin dapat diterima oleh masyarakat sekiranya latar belakang cerita adalah latar belakang yang lebih real dalam penggunaan bahasa Inggeris, misalnya di pejabat peguam atau korporat dengan watak-wataknya terdiri daripada pelbagai bangsa kerana memang di sini penggunaan bahasa Inggeris lebih meluas dan lebih real bila dijadikan bahan filem.

Walaupun drama tersebut di atas dan sebuah filem Malaysia yang menggunakan dialog bahasa Inggeris telah gagal dari segi rating dan pasaran, namun ini tidak bermakna bahawa hujah saya mengatakan perkataan yang panjang menjadi penghalang atau handicap yang merendahkan kualiti filem Melayu adalah tidak benar. Memanglah benar, seperti kata-kata Ahmad Tamimi Seregar yang telah diucap kepada saya, bahawa mutu sesebuah filem tidak ditentukan oleh dialognya semata-mata. Namun ia tidak harus dilupa bahawa dialog yang baik dan tersusun kemas membentuk plot dan jalan cerita yang kemas yang bakal menentukan mutu sesebuah filem itu.

Menerusi tulisan ini, saya ingin membicarakan dengan lebih mendalam tentang kaitan di antara kepanjangan perkataan dengan kualiti sesebuah drama dalam drama tv dan filem. Oleh kerana teater mempunyai ciri-ciri yang berbeza daripada drama tv dan filem, terutama dari segi kerangka waktu dan prop yang terbatas, ia akan dibicarakan secara khusus dalam post lain.

*******

Drama di dalam sebuah drama tv atau filem adalah gabungan beberapa senario yang menjadi latar belakang bagi babab-babak yang dipenuhi dengan aksi dan dialog. Filem dalam era digital diperkuatkan lagi persembahannya dengan kesan bunyi dan paparan 3D. Bagaimanapun kekuatan jalan cerita di dalam sesebuah filem tetap bergantung kepada dialog. Tanpa dialog, drama di dalam sesebuah filem bakal menjadi paparan imej-imej bergerak yang membosankan. Kesan bunyi yang hebat dalam filem hanya bakal menjadi bunyi-bunyi bingit yang memekakkan telinga sekiranya tidak disertai dengan dialog yang berkesan yang dapat mengukuhkan cerita.

Related posts:

Advertisements
Advertisements
%d bloggers like this: